Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Salam Sejahtera dan Salam
1 Malaysia.
PENDAHULUAN
1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia
dan rahmat-Nya kita dapat berhimpun pada hari ini sempena Perayaan Hari Guru
Peringkat Kebangsaan tahun 2015. Bagi saya, sambutan Hari Guru adalah tanda
pengiktirafan tertinggi negara terhadap peranan dan sumbangan para guru
mendidik anak bangsa. Sempena hari yang amat bermakna ini, saya dengan
rendah hati merakamkan ucapan segunung kasih dan setulus penghargaan
kepada semua guru di seluruh pelosok tanah air atas segala jasa, bakti dan
sumbangan anda semua.
"GURU: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK"
2. Tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu ‘Guru: Membina Ilmu
Menyempurnakan Akhlak' amat bertepatan dengan suasana dan cabaran masa
kini serta sejajar dengan misi kenabian Rasulullah s.a.w sepertimana sabda
baginda dalam sebuah hadith:
Innama bu’ithtu li’utammima makarimal akhlaq
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”
3. Sehubungan ini, guru memainkan peranan penting untuk
menyempurnakan akhlak murid serta membentuk insan seimbang dan
berperibadi unggul. Lebih-lebih lagi dalam keghairahan kita mengejar kemajuan
material, aspek akhlak dan nilai murni mesti diberikan perhatian yang utama oleh
sistem pendidikan kita.
4. Modal insan yang ingin kita bangunkan tidak seharusnya dilengkapkan
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi juga mesti
diperkukuhkan dengan akhlak yang terpuji dan nilai-nilai yang murni. Bagi saya
aspek akhlak, budi pekerti, integriti, amanah dan nilai-nilai murni adalah
komponen yang amat penting dalam membina negara bangsa dan mencapai
kemajuan ekonomi yang lestari.
5. Tanpa kita sedari, sifat jujur, amanah dan integriti sebenarnya merupakan
nilai intrinsik yang menjadi tunjang dan pasak kemajuan ekonomi. Dalam
perniagaan misalnya, seorang peniaga yang jujur dan amanah akan mendapat
kepercayaan pelanggan untuk terus membeli barangan atau melanggan
perkhidmatan yang ditawarkan. Jika peniaga itu tidak amanah dengan melakukan
penipuan atau manipulasi untuk mengaut keuntungan berlebihan, maka sudah
pasti pelanggan tidak lagi mempercayainya dan perniagaannya akan mengalami
kerugian.
6. Begitu juga dengan industri, baik industri pembuatan, makanan,
pengangkutan, perbankan, kewangan dan lain-lain. Semua industri ini
sebenarnya dibina di atas kepercayaan pengguna bahawa barangan dan
perkhidmatan yang ditawarkan adalah berkualiti, selamat dan mempunyai nilai
untuk wang (value for money). Semua ini menuntut pemain industri untuk
bersifat amanah, jujur dan berintegriti dengan tidak sekali-kali mengkompromi
kualiti barangan atau keselamatan pengguna semata-mata untuk mengaut
keuntungan. Jika mereka melakukan pecah amanah, penipuan dan khianat
kerana sikap tamak haloba sehingga menjejaskan keselamatan dan kepentingan
pengguna, maka tentu sekali pengguna atau pelanggan akan hilang kepercayaan
terhadap industri berkenaan dan menyebabkan para pengusaha industri
mengalami kerugian. Jika pecah amanah, salah guna kuasa dan salah urus berlaku
dalam skala yang lebih besar, maka industri berkenaan mungkin akan lumpuh dan
ekonomi negara menguncup.
7. Saudara dan saudari, renungkanlah. Integriti mungkin dianggap satu
perkara yang kecil dan soal individu. Tetapi hakikatnya ketiadaan integriti hanya
pada segelintir individu boleh mendatangkan malapetaka yang besar kepada
sesuatu industri, masyarakat dan juga negara. Oleh itu, sudah sampai masanya
kita meletakkan pendidikan moral dan akhlak kearah melahirkan insan yang
amanah, berintegriti dan bertanggungjawab sebagai urusan utama (core
business) pendidikan di negara kita.
8. Hal ini boleh direalisasikan sekiranya guru-guru sentiasa menerapkan nilainilai
murni seperti sifat amanah, jujur, telus dan budi pekerti yang mulia dalam
proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kesukanan dan ko-kurikulum.
Tugas mendidik murid supaya berakhlak mulia dan berdisiplin tidak hanya
terletak pada bahu guru pendidikan moral, guru pendidikan Islam atau guru
disiplin, tetapi pada semua guru. Jika kita dapat menjadikan sekolah sebagai
medan asuhan akhlak dan sahsiah murid yang sempurna, saya yakin hasrat kita
untuk melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak mulia akan menjadi
kenyataan.
9. Lebih-lebih lagi soal akhlak dan keperibadian yang mulia amat ditekankan
bukan sahaja oleh agama Islam, tetapi oleh semua agama dan kepercayaan. Saya
yakin, seorang penganut agama yang taat akan mengamalkan nilai-nilai yang
murni dalam kehidupan dan saling menghormati antara satu sama lain. Dalam
sebuah negara majmuk seperti Malaysia, pendidikan akhlak dan moral mestilah
menekankan prinsip menghormati perbezaan, meraikan kepelbagaian dan
memupuk hubungan yang baik antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Saya percaya, jika prinsip ini dapat digarap dengan baik dan diterapkan dalam
jiwa setiap murid tanpa mengira kaum dan agama, kita akan dapat mengekalkan
keamanan dan keharmonian kaum yang kita kecapi selama ini.
PENINGKATAN PROFESIONALISME KEGURUAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
10. Saya sedar menjadi guru pada hari ini tidaklah semudah yang disangka.
Tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu para guru memerlukan
komitmen tinggi dan menuntut perubahan dinamik dalam profesionalisme
keguruan. Oleh itu, KPM melalui program Pembangunan Profesionalisme
Berterusan (PPB) menyediakan platform yang sesuai untuk guru meningkatkan
tahap profesionalisme dalam kerjaya di samping memantapkan imej kendiri.
Seorang guru yang profesional adalah guru yang berilmu, mempunyai kemahiran
dan ketrampilan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta memiliki
sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan kepada murid.
11. Dalam usaha memastikan guru yang dilahirkan oleh institusi pendidikan
guru mampu mendidik murid menjadi insan berkualiti, sistem pengambilan guru
pelatih juga telah ditambah baik. Dalam Gelombang Pertama anjakan keempat
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, Institut Pendidikan Guru
kini melaksanakan dasar pengambilan yang lebih ketat iaitu sebanyak 30 peratus
pengambilan baharu adalah terdiri daripada pelajar cemerlang yang mendapat
sekurang-kurangnya 5A dalam SPM. Saya amat berharap agar pemilihan calon
guru yang terbaik dapat membantu melonjakkan mutu pendidikan negara.
KURIKULUM PENDIDIKAN ABAD KE-21
12. Matlamat membina ilmu dan menyempurnakan akhlak murid hanya dapat
direalisasikan jika kita mempunyai kurikulum yang mampu menjangkau
keperluan cabaran pendidikan abad ke-21 untuk melahirkan murid yang dinamik
dan seimbang dalam semua aspek. Untuk itu, Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) yang bermula pada tahun 2011 dan disambut dengan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada tahun 2017 perlu dibentuk selari
dengan aliran pembangunan dan kemajuan teknologi supaya relevan dengan
persekitaran semasa serta menekankan penggunaan "Higher Order Thinking and
Creative Skills" (HOTaCS) yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik.
13. Selain Kurikulum Standard, Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz juga telah
dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih. Kurikulum Dini dan Tahfiz memberi
penekanan dalam pendidikan agama tanpa membelakangkan pendidikan
akademik. Tahfiz Model Ulul Albab yang menggabung jalinkan tiga bidang ilmu,
iaitu ilmu agama, ilmu kemanusiaan dan ilmu sains pastinya dapat memantapkan
aspek sahsiah, rohani dan minda murid. Melalui pengajaran dan pembelajaran
yang dilaksanakan secara bersepadu ini, saya amat berharap agar kita dapat
melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak mulia dalam ertikata yang sebenar.
TRANSFORMASI PENTAKSIRAN
14. Transformasi sistem pendidikan negara menerusi PPPM 2013 - 2025 yang
memberi penekanan khusus terhadap aspirasi akal dan budi kini dinilai melalui
transformasi besar-besaran dalam sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
sebagai teras pembangunan murid secara holistik. PBS bukan sahaja mentaksir
kebijaksanaan akal fikiran semata-mata malah merangkumi kecerdasan emosi,
kecergasan fizikal serta nilai dan budi pekerti yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Bagi melengkapkan sistem ini, maka Pentaksiran
Tingkatan Tiga (PT3) dilaksanakan untuk menguji komponen yang holistik ini
secara mapan. Saya amat berharap agar pelaksanaan PT3 akan terus mendapat
sokongan dan dokongan para guru dan ibu bapa.
KEJAYAAN GURU
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
15. Peranan guru sebagai pembina ilmu terbukti melalui kejayaan murid kita
dalam peperiksaan awam seperti SPM dan STPM yang diumumkan pada bulan
Mac yang lalu. Pencapaian membanggakan dalam STPM dapat kita lihat apabila
sebanyak 41,915 murid kita telah lulus penuh dengan 408 murid mendapat gred
A dalam semua subjek yang diambil. Cumulative Grade Point Average (CGPA) juga
telah meningkat daripada 2.57 pada 2013 kepada 2.62 tahun lalu. Dari sudut
pencapaian murid luar bandar, saya juga berasa amat bangga dengan usaha guru
yang berjaya merapatkan jurang sebanyak 11 peratus antara bandar dengan luar
bandar melalui keputusan UPSR yang lalu. Gred Purata Sekolah di Sabah juga
telah meningkat sebanyak 0.12 mata dengan program intervensi yang telah
dilaksanakan, manakala sekolah yang berada dalam band 6 dan 7 telah
berkurangan kepada 1.39 peratus tahun lalu berbanding sebanyak 1.73 peratus
tahun sebelumnya. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru yang
telah menyumbang kepada kejayaan ini!
16. Sesungguhnya usaha dan pengorbanan guru mendidik anak bangsa
memang tidak dapat dinafikan. Saya berasa bangga apabila Cikgu Anuar Mansor,
guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh, Pahang
diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara 2015 (Kumpulan
OKU) yang disampaikan YAB Perdana Menteri sempena sambutan Hari Pekerja
2015 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.
17. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan Sekolah Kebangsaan Muzaffar
Syah, Kota Tinggi, Johor yang melonjak daripada kedudukan 4,568 pada 2012 ke
1,511 pada 2013 dengan GPS meningkat daripada 2.26 kepada 2.08 dalam
kalangan sekolah rendah di Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa usaha gigih
para guru di bawah kepimpinan Guru Besar, Cikgu Hajah Bibi Sakinah binti Haron
Khan dengan kerjasama erat para ibu bapa telah melayakkan mereka menerima
Anugerah Sekolah Cemerlang NKRA (New Deals) dan Anugerah Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) Cemerlang peringkat Kebangsaan 2012/2013.
18. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada warga
SMK Cheras dan SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur yang telah mengharumkan
nama Malaysia dalam Best Music Performance sempena Festival Kesenian
Antarabangsa yang berlangsung di Turki pada penghujung April yang lalu.
Kejayaan ini tentu bertitik tolak dari usaha para guru yang gigih melatih muridmurid
yang menyertai pertandingan ini.
19. Saya juga mengucapkan tahniah kepada adik Izzah Amzan yang sering
memenangi kejohanan gimrama peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Ini termasuk gimnas terbaik kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia
(MSSM) 2015 bagi kategori junior dan gimnas terbaik kejohanan "Kalamata Cup"
Greece 2015 juga bagi kategori junior. Tahniah Izzah Amzan dan ibunya Puan
Hazira binti Hamsah yang merupakan seorang guru di SMK Seri Saujana, Kuala
Lumpur.
20. Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua guru yang terlibat
membantu mangsa banjir yang melanda negara kita pada hujung tahun lalu.
Secara khusus saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Guru
Muda 1Malaysia (GM1M) di bawah pimpinan Cikgu Husmira Hussin yang telah
menggerakkan 50,000 orang guru untuk membantu mangsa banjir dan
melakukan kerja-kerja pembersihan pasca-banjir.
PENGUMUMAN INSENTIF: PENGHARGAAN ATAS JASA GURU
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
21. Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya berbesar hati untuk
mengumumkan beberapa khabar gembira kepada guru-guru.
Pertama, Akta Yayasan Guru Tun Hussein Onn [Akta 763] telah diluluskan oleh
Parlimen dan diwartakan. Melalui Yayasan ini guru-guru akan dibantu
mendapatkan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian, termasuk guru yang
tidak layak mendapat biasiswa kerajaan kerana melebihi had umur. Yayasan ini
juga akan menjaga kebajikan guru dengan memberi keutamaan kepada guru yang
memerlukan bantuan kecemasan, bencana alam, khairat kematian dan bantuan
peralatan sokongan selepas rawatan seperti kerusi roda. Memandangkan guru
juga berisiko tinggi terlibat dengan kemalangan sehingga menyebabkan
kehilangan nyawa, maka Yayasan Guru Tun Hussein Onn juga menjadi harapan
untuk menghulurkan bantuan keperluan dan pembiayaan pengajian anak-anak
guru yang terlibat;
Kedua, Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyeragamkan had umur pegawai
awam bagi mengikuti Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (Ph.D)
iaitu dari 43 tahun bagi Ijazah Sarjana kepada 45 tahun seperti had umur bagi
Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (Ph.D) di bawah Hadiah Latihan Persekutuan.
Peningkatan had umur bagi pegawai awam mengikuti Ijazah Sarjana ini akan
memberikan lebih peluang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP)
untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Peningkatan ilmu
di kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di peringkat lanjutan akan
menjadi pemacu kepada perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih
berkualiti dan efisien.
Ketiga, Kerajaan telah bersetuju untuk menambahbaik Elaun Pengetua dan Guru
Besar sedia ada. Elaun sedia ada yang telah berkuatkuasa mulai tahun 2000, kini
dinaikkan dari RM150 kepada RM300 sebulan bagi 2,405 Pengetua Sekolah
Menengah dan kenaikan dari RM100 kepada RM200 sebulan bagi 7,757 Guru
Besar Sekolah Rendah berkuatkuasa 1 Julai 2015. Bagi pihak Kementerian
Pendidikan, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri
yang telah memberikan persetujuan kepada cadangan Kementerian untuk
menambahbaik elaun pengetua dan guru besar. Penambahbaikan ini dibuat
kerana Pengetua dan Guru Besar memainkan peranan yang amat penting dalam
kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Peranan dan kompleksiti
tugas yang semakin mencabar dalam mendokong transformasi sistem pendidikan
memerlukan kewibawaan dan kreativiti dalam kepimpinan Pengetua dan Guru
Besar. Insentif ini diharap akan dapat mendorong pemimpin sekolah untuk terus
meningkatkan kualiti kepimpinan bagi menjamin kecemerlangan sekolah dalam
keberhasilan murid. Prestasi Pengetua dan Guru Besar akan sentiasa diukur
melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI), malah pencapaian KPI juga menjadi
pengukuran kesesuaian penyandang terus menduduki jawatan tersebut.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
22. Sempena majlis perasmian hari guru yang penuh bermakna ini, saya ingin
mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan
tahniah kepada para guru-gur yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan,
Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Ikon Guru bagi tahun ini.
Anugerah ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap jasa
serta pengorbanan tokoh-tokoh guru yang tidak ternilai kepada bangsa dan
negara.
23. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan
yang bergelar guru di mana jua anda berada. Biarlah ungkapan keramat ‘guru'
atau ‘cikgu' terus kekal meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke
akhir hayat seorang guru. Semoga saudara dan saudari para guru terus menjadi
penyuluh dan suri teladan dalam memartabatkan tradisi keilmuan dan
membentuk kesempurnaan akhlak generasi muda.
Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir menekap junjungan;
Kepalang guru membina ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan.
Pameran LIMA banyak khalayak,
Langkawi terkenal Dataran Lang;
Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan akhlak,
Jasa baktimu sentiasa dikenang.
24. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan
Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-44 Tahun 2015.
SELAMAT HARI GURU! TERIMA KASIH CIKGU!
Wabillahitaufik walhidayah
wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment